Peguam beri panduan keluar masa idah, ulas isu balu mangsa rempuh pergi mahkamah

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang peguam syarie dikenali sebagai Farhan Fadzil berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mengulas isu berkaitan kes Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk.

Mana tidaknya, peguam terbabit tidak menyentuh isu kemalangan itu secara langsung sebaliknya mengenai kehadiran balu arwah ke mahkamah untuk mengikuti prosiding kes bagi menuntut keadilan buat suaminya.

Hal ini berikutan timbul persoalan di kalangan netizen mengenai keperluan wanita terbabit untuk turut hadir ke mahkamah dalam keadaan idah susulan kematian suaminya sama ada dibenarkan atau sebaliknya.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Farhan menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk balu arwah keluar rumah kerana kehadirannya ke mahkamah dikira sebagai keperluan terdesak.

“Dalam Islam, isteri dalam idah akibat kematian suami dibenarkan untuk keluar rumah atas keperluan yang mendesak atau darurat, termasuk hadir ke mahkamah untuk menuntut keadilan bagi arwah suami yang maut dilanggar pemandu mabuk.

“Ini dikira sebagai urusan penting yang melibatkan hak dan keadilan. Bukan keluar tanpa keperluan,” katanya dalam hantaran itu bersama tangkap layar memaparkan komen daripada netizen berhubung isu tersebut.

Menurutnya, keperluan lain diperbolehkan untuk isteri dalam idah keluar rumah termasuklah ke balai polis, urusan tuntutan insurans atau pusaka yang dikira sebagai hajat sangat penting dibenarkan oleh syarak.

Farhan dalam hantaran sama turut berkongsi panduan yang sewajarnya diikuti oleh isteri dalam idah kematian suami berhubung waktu keluar rumah dan adab-adab seperti tidak menghiaskan diri.

“Isteri digalakkan keluar pada waktu siang dan kembali ke rumah sebelum malam, melainkan jika urusan mahkamah terpaksa dilanjutkan. Sepanjang tempoh idah, isteri perlu mengekalkan adab-adab idah.

“Ini termasuklah tidak berhias berlebihan dan menjaga kehormatan diri. Tindakan menuntut keadilan adalah tanggungjawab untuk memastikan pemandu mabuk menerima hukuman setimpal.

“Isteri boleh hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, serta melakukan urusan tersebut dengan segera.” Ujarnya dalam perkongsian tersebut.

Peguam itu turut mendoakan agar pemandu mabuk terlibat dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan yang menyusahkan keluarga mangsa sekali gus dapat menegakkan keadilan buat arwah Amirul Hafiz Omar.

Baca juga: Netizen pelik kenapa ada muka Rafidah dan Albert Tei? Minta jangan menangguk air keruh