Pekebun kes jajan beracun bersuara, dakwa datuk mangsa putar belit cerita sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Pada awal Julai lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan tiga tahun disyaki akibat termakan jajan atau keropok segera yang dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Kedua kanak-kanak yang merupakan adik-beradik itu dipercayai mengambil paket jajan beracun tergantung di dawai besi pagar bertujuan untuk memerangkap monyet di sebuah kebun milik penduduk berhampiran.

Seorang pekebun yang berusia 33 tahun kemudian ditahan reman untuk membantu siasatan kes kematian dua beradik berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

Selepas sebulan kes tersebut berlaku, pekebun dikenali sebagai Uzair Shafawi tampil mengaku dirinya adalah individu yang ditahan reman selain bercerita situasi sebenar mengikut pandangannya.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Uzair tidak menafikan keropok beracun itu digantungkan di pagar kebunnya namun berpendapat mustahil sekiranya mangsa dapat mencapai ketinggian empat kaki setengah.

“Akulah si pekebun yang ditahan di atas kelalaian mak dan juga penjaga kepada dua mangsa. Al-Fatihah. Aku duduk dalam (lokap) lapan hari. Buta sahaja, memang naya aku kena. Tetapi mak dan datuk kepada mangsa masih lagi tak ditahan.

“Cerita sebenarnya macam ini, keropok itu diletakkan di pagar yang tingginya empat kaki setengah. Tak logik akal untuk budak umur dua dan tiga tahun ambil. Keropok itu juga bukan duduk dalam pagar tepi jalan. Tetapi dalam pagar bersebelahan hutan.

“Itulah kawasan laluan kera duduk masuk ke tempat tanaman pisang yang aku buat. Orang kampung juga ada gantung keropok seperti ini di pokok. Kalau budak itu ambil di pokok, maknanya bukan aku punya. Mungkin tuan kebun lain yang letak,” katanya.

Pekebun itu juga menyangkal dakwaan dirinya melarikan diri namun hanya pergi ke rumah keluarga mentua untuk menghantar isteri dan anak-anaknya tinggal di kediaman berkenaan buat sementara waktu.

Jelas Uzair, kerjasama penuh juga telah diberikan kepada pihak polis namun pekebun terbabit turut menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab ahli keluarga mangsa dalam menjaga keselamatan kanak-kanak itu.

“Boleh tanya pihak polis, aku berikan kerjasama penuh kepada mereka. Kejadian berlaku hari Ahad, polis kata aku tak ditahan. Selepas ada kematian pertama, barulah aku ditahan. Ketika itu, aku berada di kampung mentua sebab hantar anak bini balik sana.

“Tetapi keluarga mangsa, seorang pun tidak ditahan lagi. Kenalah berlaku adil. Kalau nak tahan, tahanlah kedua-dua pihak. Mengapa mereka masih tidak ditahan? Aku baru tergerak hati nak kongsi video ini walaupun sudah sebulan berlalu. Banyak benda tak betul orang duk bercerita,” ulasnya.

Dalam hantaran yang sama, Uzair turut mendakwa arwah dua beradik berkenaan sebenarnya telah diabaikan oleh ibu bapa dan penjaga mereka malah pernah dibiarkan masuk serta berkeliaran di dalam kawasan hutan tanpa pemantauan orang dewasa.

Pekebun terbabit turut mendakwa dirinya telah difitnah oleh datuk kepada mangsa yang seakan berlakon seperti mangsa selain banyak memutar belitkan cerita sebenar ketika membuat kenyataan kepada pihak wartawan.

“Kalau ikutkan kehendak aku, nak sahaja saman datuk kepada budak-budak ini. Boleh datang dan tanya orang kampung berdekatan rumah mangsa. Memang depa (keluarga mangsa) abaikan mereka. Dibiar masuk dalam hutan berkeliaran. Hutan dan semak di sini banyak ular berbisa.

“Pernah dahulu budak dua orang itu berjalan sampai ke rumah aku dengan dalam lampinnya penuh dengan tahi. Budak-budak itu berjalan tanpa pakai kasut. Kalau tak percaya, boleh tanya orang kampung sini. Datuk mereka lagilah, memang tak ambil tahu langsung.

“Tetapi apabila sudah jadi kes macam ini, datuk dia nak ‘play victim’ pula. Kebanyakkan soalan yang wartawan tanya kepada datuk mereka, banyak jawab tipu sahaja. Siapa nak tahu perkara sebenar, boleh datang rumah. Macam mana budak umur dua ke tiga tahun boleh dibiar berjalan sejauh 100 meter?.” Soalnya.

Baca juga: Nak perangkap monyet tapi 2 kanak-kanak jadi mangsa, kritikal lepas makan jajan beracun