Pekerja asing di Malaysia paling gembira dengan pengukuhan ringgit

Oleh KIM SYAZIE

Pekerja asing yang bekerja di Malaysia terutama warga Indonesia paling gembira dapat menikmati manfaat dari pengukuhan ringgit dan penyusutan mata wang rupiah.

Mereka mampu menghantar duit ke kampung halaman dalam jumlah yang sama seperti bulan-bulan kebiasaan, dan masih lagi mempunyai lebihan wang yang banyak.

Ketua Pegawai Komersial Merchantrade Asia Sdn Bhd, Ivan Alias berkata, pekerja Indonesia berada dalam kedudukan kewangan yang lebih selesa berikutan pengukuhan ringgit berbanding rupiah.

Menurut Berita Harian, kesan paling ketara dapat dilihat adalah dalam corak penghantaran wang pulang, khususnya melalui saluran digital yang memperlihatkan penghantaran wang dalam jumlah yang lebih kecil tetapi secara lebih kerap berlaku.

“Pekerja asing yang bekerja di sini turut menikmati manfaat pengukuhan ringgit. 

“Misalnya bagi pembantu rumah warga Indonesia, pada Januari 2025, satu juta rupiah bersamaan dengan RM291. Namun hari ini, ia sekitar RM241.

“Jadi, mereka dapat berjimat sekitar RM50 bagi setiap sejuta rupiah yang dihantar pulang ke negara asal. Ini bermakna, mereka menikmati penjimatan yang mana mereka boleh menyimpan atau membelanjakannya di Malaysia,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘The Ringgit Boost-Implications for 2026’ pada Hari Korporat Malaysia anjuran CGS International, seperti dilapor BH.

Merchantrade Asia adalah pengendali perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia, yang mengendalikan perniagaan pengiriman wang dan tukaran mata wang.

Baca juga: “Bukan duit yang dia nak, tapi anak di sisi” – Nelysa Norazlan kesal tak luang masa dengan arwah bapa