Baru-baru ini, sebuah asrama yang menempatkan 57 pelajar perempuan hangus dijilat api dan mengorbankan 19 nyawa yang tidak bersalah.
Tragis, kejadian itu berpunca dari rasa amarah seorang gadis berusia 14 tahun yang berang telefon bimbitnya dirampas oleh warden asrama.
Difahamkan, sejurus selepas telefonnya dirampas, pelajar berkenaan mengugut akan membakar asrama sebelum beredar ke bilik mandi.
Ketika di kawasan bilik mandi, pelajar yang dikuasai dengan amarah itu kemudian bertindak menyembur racun serangga pada tirai lalu membakarnya.
Suspek yang turut tercedera itu dikatakan pernah dikenakan tindakan disiplin sebelum ini kerana menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki berusia.
Menurut laporan polis, sebahagian pelajar cuba memadamkan api, namun kebakaran itu merebak pantas menerusi siling yang diperbuat daripada kayu.
“Beberapa pelajar melecur di badan serta terhidu asap, manakala beberapa yang lain sempat melarikan diri,” tulis laporan polis.
Malangnya, ramai pelajar didapati gagal menyelamatkan diri kerana bangunan berkenaan dikunci warden asrama seperti kebiasaannya.
Akibatnya, 19 orang ditemui maut dan 20 kanak-kanak dibawa ke hospital, dengan dua daripadanya dalam keadaan kritikal.
Kejadian itu berlaku di Guyana, Georgetown, Amerika Selatan dan suspek yang sedang dirawat bakal dibawa ke pusat tahanan juvana sebaik keluar dari hospital.
Baca juga: KWSP jadi agensi paling kaya di Malaysia, aset cecah RM1 trilion