Pelakon gagal dikesan selepas tiba di Jeddah, sempat beritahu bertemu individu tidak dikenali

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Nadia Kesuma dilaporkan hilang tanpa jejak selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Kehilangan mengejut itu menimbulkan kebimbangan ramai apabila tiada sebarang maklumat lanjut mengenai keberadaannya sejak mendarat di Arab Saudi.

Hal kehilangannya itu dikongsi oleh akan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah lapor Harian Metro.

Jelas Anne, pelakon filem Syaitan Munafik itu menaiki penerbangan menerusi satu syarikat agensi pelancongan dalam pakej umrah khas ke Tanah Suci termasuk Kota London.

“Sebaik sampai di Jeddah, dia ada mesej suaminya memaklumkan dia selamat tiba. Selepas itu, dia sepatutnya menaiki pesawat untuk ke London pula.

“Tapi pihak travel beri tahu, dia tidak naik pesawat pergi ke London. Sekarang ini handphone (telefon bimbit) tidak dapat dihubungi.

“Suaminya yang bimbang menghubungi saya. Jadi sekarang ini, persoalannya sama ada dia di Jeddah atau di mana, sebab dia memang tidak naik pesawat ke London itu.

“Dia pergj sendirian saja. Dekat Jeddah memang dah semak. Betul nama dia ada dekat situ tapi dia tidak check-in (daftar masuk) pun untuk pergi ke London,” katanya seoerti dipetik Harian Metro.

Jelas Anne, suami Nadia memaklumkan antara mesej terakhir diterimanya adalah Nadia berjumpa dengan orang tak dikenali.

“Tapi sebelum itu dia ada mesej pada suaminya, dia kata macam “I met stranger” (jumpa orang yang tidak dikenali) lepas itu terus tiada berita. Sekarang ini kedua-dua handphonenya ‘delivered’ tapi dia tidak respon.

“Sejak semalam suami bimbang dan menghubungi saya. Saya pula terkejut kerana ingatkan dia pergi dengan suaminya. Rupanya dia pergi sendiri dengan agensi pelancongan.

“Pakej yang dia ambil itu ialah umrah ziarah, seperti pakej pergi ke Paris dengan London. Dia akan pergi ke Jeddah, Makkah, Paris, London. Sekarang banyak orang buat seperti itu,” katanya.

Baca juga: Guru kongsi realiti sekolah pedalaman, hanya tiga murid sahaja daftar sesi persekolahan