Pelanggan terkejut peniaga tanda isi popia macam guna ‘marker pen’, was-was nak makan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pelanggan berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas meluahkan rasa was-was untuk menjamah kuih popia yang dibelinya sendiri daripada sebuah gerai.

Mana tidaknya, pelanggan terbabit merasa curiga dengan kesan tulisan di atas kulit popia tersebut yang menyerupai dakwat ‘marker pen’ dipercayai ditanda oleh peniaga bagi mengenal pasti inti kuih berkenaan.

Berdasarkan satu hantaran dimuat naik di akaun Threads miliknya, pelanggan itu bertanyakan kepada orang ramai sekiranya kuih yang sudah bertanda berkenaan selamat untuk dimakan.

Hal ini berikutan pelanggan terbabit merasa risau namun dalam masa yang sama tidak mahu membazir sekiranya kuih popia dibelinya lebih daripada 10 biji itu dibuang begitu sahaja.

Gambar memaparkan kuih popia bertandakan ‘CR’ yang memberi maksud ‘crab ragoon’ atau berintikan isi ketam tiruan bersama krim keju turut dikongsikan pelanggan itu dalam hantaran sama.

“Ini adalah kali pertama saya beli popia goreng dekat satu gerai. Dapat macam ini, sudah bertanda. Boleh ke makan? Tetapi panas-panas lagi ini. Berinti crab ragoon. Rugi pula nak buang,” kata wanita terbabit dalam perkongsian itu.

Mengulas lanjut, pelanggan itu mengakui tidak memiliki kesempatan untuk bertanya terus kepada peniaga kerana baru ternampak tulisan ketika kuih berkenaan dihidang malah gerai juga terletak jauh dari rumah.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mempersoalkan tindakan peniaga menanda kuih popia tersebut tanpa memikirkan kesan terutama kepada kesihatan pelanggan.

Namun ramai juga pengguna tampil mempertahankan peniaga dengan mendakwa tanda inti kuih berkenaan mungkin sahaja ditulis dengan menggunakan pewarna makanan atau ‘edible marker’ (dakwat boleh makan).

Pelanggan itu kemudian memaklumkan bahawa popia berkenaan tetap dimakan kerana tidak mahu membazir dengan membuang sebahagian kuih yang terdapat tulisan ‘CR’ tersebut.

“Saya makan sahaja dengan selamba. Tetapi saya buang sedikit bahagian yang ada marker itu. Nanti lain kali kalau singgah lagi gerai itu, saya tanya.” Jelas pelanggan terbabit menjawab persoalan pengguna Threads.

Baca juga: Marah pelanggan pertikai harga, sekali peniaga nasi lemak kena ‘backfire’ sebab bilis & telur kira asing