Pelantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas Perdana Menteri, dibidas sebagai satu tindakan yang seolah-0lah cuba untuk membeli sokongan politik menjelang sidang Parlimen.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sangat mendukacitakan apabila Mahiaddin memberi respon tidak acuh terhadap peningkatan kes Covid-19 dengan tidak mengumumkan langkah pencegahan terbaru, sebaliknya mengumumkan lagi pelantikan berbaur politik yang membazirkan wang pembayar cukai.
“Mahiaddin juga tidak memiliki keabsahan politik untuk membuat lantikan sedemikian berikutan kehilangan majoriti parlimennya setelah 11 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.
“Sebenarnya, sebarang lantikan baru oleh Mahiaddin menjelang undi percaya di Parlimen pada bulan Ogos atau September, menimbulkan kecurigaan rakyat bahawa ini adalah satu bentuk membeli sokongan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Lim juga mempersoalkan bagaimana pelantikan Ahmad Faizal untuk menasihati Perdana Menteri mengenai hubungan dan komunikasi masyarakat serta pembangunan sosio-ekonomi, dapat membantu memerangi Covid-19 atau mengatasi kemelesetan ekonomi.
Menurutnya, sebagai bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal mempunyai rekod yang gagal dalam hubungan masyarakat, komunikasi dan pembangunan sosio-ekonomi sehingga dia dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah dia kalah undi percaya di Dun Perak.
Malah katanya, pelantikan Ahmad Faizal dengan jelas menunjukkan bahawa Mahiaddin telah hilang arah tuju dan tidak mempunyai idea atau rancangan untuk membimbing Malaysia keluar daripada krisis sekarang.