Pemandu pelancong Malaysia buat hal, restoran di Jepun terpaksa buang 25 set nasi lemak

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah restoran di Jepun terpaksa menanggung kerugian selepas seorang pemandu pelancong dari Malaysia membatalkan tempahan nasi lemak tanpa sebarang makluman.

Kejadian tersebut menyebabkan restoran terletak di Shibuya, Tokyo yang menjual hidangan tradisi rakyat Malaysia itu terpaksa membuang tempahan melibatkan 25 set nasi lemak.

Meluahkan rasa tidak puas hati, insiden itu didedahkan oleh individu dipercayai salah seorang pekerja restoran terbabit menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman Facebook.

Pemilik akaun Sou Tanaka itu memberitahu, restoran terbabit mulanya dihubungi oleh pemandu pelancong dikenali sebagai Shukri yang dipercayai bekerja dengan sebuah agensi pelancongan beralamat di Pahang.

Restoran berkenaan kemudian mencadangkan hidangan menu set nasi lemak untuk memenuhi tempahan makanan tengah hari berkumpulan yang dibuat oleh pemandu pelancong terbabit.

Kedua-dua belah pihak kemudian membuat rundingan sebelum akhirnya bersetuju dengan menu hidangan, harga ditawarkan serta masa dan bilangan tempat duduk.

Walau bagaimanapun, pemandu pelancong terbabit malah langsung tidak membalas sebarang pesanan melalui aplikasi Whatsapp daripada pihak restoran apabila waktu dijadualkan hampir tiba.

Kumpulan pengembara seramai 25 orang itu juga langsung tidak kunjung tiba mengambil pesanan mereka sehingga restoran terbabit terpaksa membuang set nasi lemak yang telah disediakan.

“Ini adalah kali pertama saya dilayan secara kurang bertanggungjawab. Kedai perlu menanggung kerugian daripada kos makanan dan juga waktu kerja kakitangan kami.

“Saya tidak dapat menerima hakikat terpaksa menolak beberapa orang pelanggan yang telah datang ke restoran dan menyuruh mereka pulang bagi memastikan kedai ini kosong sementara menunggu kumpulan itu tiba.

“Nasi lemak untuk 25 orang, sedih. Saya tidak mahu orang lain dalam industri turut mengalami masalah yang sama atau pelanggan terjejas akibat tindakan pemandu pelancong ini,” katanya.

Sou Tanaka kemudian mengambil keputusan untuk mendedahkan identiti pemandu pelancong terbabit bersama maklumat syarikat pelancongan bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang lagi.

“Kejadian ini benar-benar menjengkelkan. Jika anda mahu membatalkan pesanan, sila beritahu saya. Pada masa hadapan, restoran akan mengambil langkah berjaga-jaga,” tegasnya.

Baca juga: Baru 15 hari jual makanan di mesin layan diri, suri rumah tak sangka mampu raih RM2,000