Pemilihan DAP Pusat 20 Mac dijangka wujud perubahan pimpinan

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemilihan DAP yang akan berlangsung pada 20 Mac ini akan menyaksikan perubahan pimpinan menjelangnya pemilihan peringkat pusat.

Menurut Naib Pengerusi DAP Pusat, Chow Kon Yeow, terdapat beberapa perubahan yang akan berlaku termasuklah jawatan Setiausaha Agung yang telah dipegang oleh Lim Guan Eng.

“Perlembagaan parti telah menetapkan jawatan Setiausaha Agung hanya bagi tempoh tiga penggal sahaja.

Pemilihan DAP Pusat 20 Mac dijangka wujud perubahan pimpinan
Lim Guan Eng

” Saudara Lim Guan Eng telah berkhidmat selama tiga penggal dan perlembagaan parti turut mencatatkan had bagi jawatan tersebut adalah selama tiga penggal dan muka baru akan mewarnai kerusi tersebut tidak lama lagi.

” Selain itu jumlah Ahli Jawatankuasa Pusat akan turut ditambah daripada sejumlah 25 orang kepada 30 orang dan sebanyak 30 peratus diuntukkan kepada pimpinan dari golongan wanita serta merupakan suatu perubahan besar yang akan wujud menjelang pemilihan kali ini, ” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang turut berkata, perubahan pucuk pimpinan yang akan berlaku menjelang pemilihan kali ini adalah selaras dengan perlembagaan yang telah ditetapkan oleh parti.