Kerajaan dicadang memperbesar dan memperbanyakkan subsidi bagi pelan sekuriti makanan agar sektor pertanian menjadi antara sekor yang paling untung untuk diusahakan, sekali gus menggalakkan lebih ramai bercucuk tanam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GM Peladang, Zamir Ghazali yang mengusahakan tanaman fertigasi di Terengganu menjelaskan, ketika ini lebih ramai yang memilih untuk membina bangunan di tanah mereka berbanding mengusahakan kerja-kerja pertanian.
Ini kerana katanya, kadar pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti pertanian di atas sebidang tanah amatlah rendah berbanding dengan membina gerai mahu pun rumah yang boleh disewa, di mana hasil pendapatan jauh lebih tinggi.
Zamir melihat subsidi adalah penting jika kerajaan benar-benar mahu menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi bidang pertanian dan bercucuk tanam.
Kami kongsikan pandangan Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, yang dikongsikannya di Facebook.
Besarkan subsidi. Saya gunakan bahasa ekonomi yang mudah.
Skala ekonomi pertanian makanan atas sebidang tanah amat rendah. Tanah 1 ekar pecah 6 lot, dan buat rumah. Kemudian disewakan atau jual. la lebih ‘handsome‘ dari menanam cili 1 ekar.
Tanah 1 lot yang cantik jika dibuat kedai makan dapat memberi peluang kerja kepada 10 orang jika menunya sedap. Berbanding tanam sayur ‘vertical farming’ secanggih manapun, kadar penjanaan kerja tetap tidak sama. Mentelah kadar pendapatan.
Tanah 1 hektar dibuat ‘venture’ dengan pemaju untuk dibuat deretan premis sewa bangunan pejabat lebih seksis daripada memelihara ayam kampung atau itik telur masin.
Cuba tanya syarikat besar yang sudah untung dari sawit selepas 20-30 tahun. Tanah itu ingin ditanam halia serai atau ditukar untuk projek perumahan mewah lengkap padang golf?
Lantaran itu, mekanisme subsidi perlu dibesarkan oleh kerajaan. Subsidi input, subsidi harga, subsidi pengedaran. Bahkan subsidi gaji jika ingin tarik minat pekerja tempatan.
Ia polisi sama di semua negara maju seperti Amerika, Jepun dan Taiwan demi jaminan keselamatan makanan.
Hanya dengan perlindungan subsidi akan menjadikan pertanian makanan untung, menarik minat pelaburan swasta dan menyaingi industri perniagaan lain. Subsidi adalah ‘pillar’.
Baca juga: Konflik di Sri Lanka, Rajapaksa akhirnya hantar e-mel letak jawatan