Peminat syak Mimi Lana hamil, kongsi gambar guna gelaran ‘Mom and Dad’

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Mimi Lana kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar bersama suaminya yang juga merupakan seorang aktor popular iaitu Syafiq Kyle.

Mana tidaknya menerusi gambar yang dimuat naik di platform Threads itu, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin telah menggelarkan dirinya dan Syafiq sebagai ‘Mom and Dad’ iaitu ibu dan ayah.

Tindakan ini sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat bahawa pasangan merpati sejoli itu mungkin akan menimang cahaya mata mereka sendiri tidak lama lagi.

Rata-rata peminat di ruangan komen perkongsian itu menyifatkan bahawa gelaran digunakan Mimi sebagai satu pengumuman secara tersirat bahawa dirinya kini sedang berbadan dua.

Ramai juga peminat mengirimkan doa agar pasangan itu dikurniakan cahaya mata kembar seperti keinginan yang pernah diluahkan oleh Mimi suatu ketika dahulu jika benar pelakon terbabit sedang hamil.

Gambar tersebut diambil ketika pasangan itu sama-sama menghadiri acara diadakan oleh sebuah jenama mewah antarabangsa iaitu Hermès. 

“Allahu, Mimi Lana beri ‘hint’ ya? Tahniah, akak doakan Mimi dapatlah anak kembar seperti diimpikan. Jangan lupa siapkan nama kembar yang comel-comel. Jangan tanya cadangan netizen,” seloroh seorang peminat dalam ruangan komen.

“Alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan sepanjang kehamilan Mimi. Jaga diri baik-baik ya. Tahniah Mimi dan Syafiq.” Kongsi pengguna lain tulus mengirimkan doa terbaik buat pasangan suami isteri berkenaan.

Walau bagaimanapun setakat ini, bintang filem Mencari Ramlee itu belum mengesahkan mahupun menafikan khabar beredar atau spekulasi peminat berhubung kehamilannya.

Terdahulu, Mimi Lana, 31, dan Syafiq Kyle, 32, bergelar pasangan suami isteri yang sah selepas diijabkabulkan dalam satu majlis akad nikah disusuli dengan acara resepsi tertutup pada 14 Februari tahun lalu.

Majlis cukup istimewa yang diadakan di Taiping, Perak itu hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat Syafiq dan Mimi sebelum diumumkan kepada khalayak ramai menerusi perkongsian di media sosial.

Baca juga: “Jangan kejar saya!” – Leona dedah detik cemas dikejar di jalan raya