Majalah humur popular, Gila-Gila menjadi sasaran kritikan orang ramai baru-baru ini selepas didapati menggunakan karya seni yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) sebagai muka hadapan.
Segelintir penggemar majalah berkenaan menganggap isu tersebut amatlah serius dan khuatir sekiranya ia menjadi faktor penyumbang kepada kejatuhan industri komik tempatan.
Menerima kritikan dengan terbuka, pengasas dan penerbit majalah Gila-Gila iaitu Jaafar Taib tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapan terbesar yang tidak sepatutnya berlaku itu.
Sebagai pengasas yang sudah berusia, Jaafar mengakui tidak begitu arif mengenai penggunaan teknologi AI dan implikasinya terhadap dunia seni hingga mengguriskan perasaan pelukis dan kartunis berbakat.
“Isu ini sememangnya satu tamparan hebat buat saya dan seluruh warga kerja Gila-Gila. Majalah yang kita cintai bersama, yang selama ini menjadi wadah kreativiti anak-anak seni tempatan, telah terpalit dengan isu yang begitu sensitif dan mendukacitakan.
“Saya sedar, keputusan untuk menggunakan karya AI tersebut adalah satu kesilapan besar yang tidak patut berlaku. Ia telah mengguris hati ramai pelukis dan kartunis berbakat yang selama ini menjadi tulang belakang majalah Gila-Gila.
“Kepada semua pelukis dan kartunis yang selama ini setia bersama Gila-Gila, saya ingin memohon maaf atas kecuaian dan kesilapan saya. Saya berjanji akan berusaha untuk terus menyokong dan menghargai bakat serta hasil karya anak Malaysia,” katanya.
Kenyataan tersebut dikongsikan sendiri oleh penerbit berusia 71 tahun itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya sebagai respon kepada kritikan dibangkitkan penggemar majalah berkenaan.
Jaafar dalam kenyataan sama turut berjanji akan memperbetulkan semula kesilapan tersebut selain menegaskan bahawa pihaknya langsung tiada niat untuk merendah-rendahkan bakat dan hasil kerja keras pelukis.
“Saya ingin tegaskan, penggunaan karya AI tersebut bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan bakat dan hasil kerja keras para pelukis kita. Namun saya faham, niat yang baik tidak semestinya menghasilkan keputusan yang baik.
“Kesilapan ini telah membuka mata saya tentang betapa pentingnya kita menghargai dan melindungi karya seni yang dihasilkan oleh tangan-tangan kreatif anak bangsa. Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan ini.
“Mulai saat ini Gila-Gila akan kembali kepada prinsip asal kita, iaitu menjadi platform untuk mengetengahkan karya seni asli yang dihasilkan oleh bakat tempatan. Marilah bersama-sama mengembalikan maruah dan kegemilangan majalah yang kita cintai ini.” Ujarnya.
Berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut, penerbit itu turut mengucapkan terima kasih kepada penggemar atas sokongan dan kritikan membina kerana tanpa mereka, majalah berkenaan tidak akan bertahan sehingga ke hari ini.
Untuk rekod, bahan bacaan yang pernah menjadi majalah humur nombor satu negara itu pertama kali diterbitkan pada 1 April 1971.
Baca juga: Nak kaut untung punya pasal, peniaga tergamak jual “burger stadium” letak patti ayam separuh