Pengasas Bytedance iaitu syarikat induk TikTok, Zhang Yiming kini dinobat orang terkaya di China dengan nilai kekayaan peribadi sebanyak AS$49.3 bilion (kira-kira RM235.4 bilion).
Kekayaannya dipacu oleh populariti aplikasi media sosial itu di seluruh dunia.
Lapor Reuters yang memetik Senarai Individu Kaya Harun 2024, aset kekayaan Zhang meningkat 43 peratus berbanding tahun lalu.
Zhang, 41, yang meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif ByteDance pada 2021, menjadi individu ke-18 dinobatkan sebagai orang terkaya China dalam tempoh 26 tahun, sejak senarai itu pertama kali diterbitkan.
Walaupun Zhang telah meninggalkan jawatan pengurusan di ByteDance, beliau masih memegang kira-kira 20 peratus saham dalam syarikat tersebut.
Beliau mengatasi usahawan air botol Zhong Shanshan, yang tergelincir ke tempat kedua apabila kekayaannya merosot 24 peratus kepada AS$47.9 bilion (kira-kira RM228.6 bilion).
“Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat hanya mempunyai empat orang yang pernah menduduki tempat teratas, termasuk Bill Gates dan Elon Musk. Itu menggambarkan sebahagian daripada kekuatan ekonomi China,” seperti yang dilaporkan Astro Awani.
AFP melaporkan, walaupun terdapat pertikaian undang-undang mengenai asetnya di Amerika Syarikat (AS), pendapatan global ByteDance meningkat 30 peratus tahun lepas kepada AS$110 bilion (kira-kira RM525.8 bilion), sekali gus membantu melonjak kekayaan peribadi Zhang.
Baca juga: Maybank tersenarai sebagai syarikat paling bernilai di Asia Tenggara, ini kedudukannya