Pengguna masih perlu sentuh TNG walau diberi tol percuma, ini maklumat penting anda perlu ambil tahu

Oleh KIM SYAZIE

Kementerian Kerja Raya memaklumkan bahawa pihaknya menyambut baik inisiatif Tol Rahmah Percuma yang diumumkan Kerajaan Perpaduan semalam.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook, menjelaskan dengan lebih teliti bagaimana tol percuma ini akan dilaksanakan.

Bagi mengelakkan kekeliruan, beliau memaklumkan bahawa pengguna jalan raya masih lagi perlu menyentuh kad Touch N’ Go biarpun tol percuma diberikan.

Beliau memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang penolakan pada kad pintar itu.

“Walaupun tiada bayaran tol dikenakan untuk tempoh empat hari tersebut, pengguna kad Touch ‘N Go masih perlu menyentuh kad di peranti (reader) yang terdapat di lorong tol.

“Ia bagi membolehkan palang tol dibuka supaya pengguna boleh melepasi plaza tol yang dilalui.

“Manakala pengguna Smartag dan RFID (kecuali di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2) juga masih perlu memperlahankan kenderaan apabila melalui lorong tol,” katanya.

Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian pembayaran tol bermula jam 12.01 pagi pada 19 April 2023 (Rabu) sehingga jam 11.59 malam pada 21 April 2023 (Jumaat).

Manakala hari keempat bermula jam 12.01 pagi sehingga jam 11.59 malam pada 24 April 2023 (Isnin).

Menurut Alexander, inisiatif ini menunjukkan keikhlasan serta keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos bayaran tol sewaktu musim perayaan ini.

Pemberian tol percuma selama empat hari itu juga melibatkan kesemua 33 lebuh raya.

Sehubungan itu, kementerian melalui Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah menyelaraskan kesemua syarikat konsesi lebuh raya. Ia bagi membuat persiapan rapi untuk menghadapi lonjakan trafik.

“Sebelum ini, tempoh terpanjang bagi tol percuma adalah selama dua hari iaitu bersempena perayaan Tahun Baru Cina 2023 di semua lebuh raya.

“Kerajaan juga pernah memberikan tol percuma bagi semua kelas kenderaan sempena perayaan Aidilfitri 2022. Tetapi ia hanya terhad di tujuh lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS Malaysia Berhad dan dua lebuh raya di bawah Kumpulan ANIH Berhad,” katanya.

Baca juga: Rupanya yang bawa masuk McDonald’s ke dalam Malaysia adalah seorang kerani, ramai tak tahu ni