Setiap tahun, ratusan kes dilaporkan melibatkan individu yang mengalami keracunan makanan hingga terpaksa dirawat di hospital.
Ramai tidak tahu keracunan makanan boleh menjadi bahaya jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Pernah berdepan situasi mencemaskan selepas rebah akibat keracunan makanan, penyanyi Datuk Hattan mengakui cirit selepas banyak makan makanan laut Kosmo! Online.
“Saya cirit-birit sebab makan makanan laut tak beragak. Waktu buat persembahan nyanyi lagu Rendang Tak Berbuah, penonton semua sudah seronok layan saya nyanyi. Kemudian kepala saya mula rasa macam berpusing.
“Saya sempat minta kepada penganjur untuk nyanyi dalam keadaan duduk bagi lagu kedua tapi apabila muzik masuk, saya tidak ingat apa yang jadi. Sedar-sedar sudah dalam ambulans.
“Cuma waktu pengsan saya rasa macam nak mati. Tak tahulah, katanya gas itu berbahaya boleh sampai ke jantung,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Disebabkan insiden tersebut, Hattan mengakui fobia untuk makan makanan laut selain lebih berhati-hati dalam soal pemakanan.
“Buat masa ini saya elak makanan laut. Lauk yang ada udang tadi (semalam) pun saya tidak makan sebab fobia.
“Selepas ini, jika ada majlis besar saya akan lebih berjaga-jaga terutama dengan pilihan makanan.
“Bukanlah saya cerewet, cuma lepas ini kalau makan kerang kena rebus dulu. Saya makan mentah sahaja (sebelum pengsan),” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan penyanyi berusia 61 tahun itu rebah ketika membuat persembahan pada Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke hopsital untuk rawatan lanjut.