Terus tak lalu beli barang dapur, nampak budak kencing dalam tong sampah di pasar raya

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan dua kanak-kanak membuang air kecil di dalam tong sampah di hadapan sebuah pasar raya telah mengundang perbincangan hangat di platform media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, perbuatan itu bukan sahaja menimbulkan rasa mual orang ramai malah mereka juga tertanya-tanya bagaimana kejadian boleh berlaku sedangkan terdapat tandas awam berdekatan dengan lokasi tersebut.

Berdasarkan rakaman dikongsikan di platform Threads itu, kelihatan seorang penjaga mendukung seorang kanak-kanak lelaki berhampiran dengan tong sampah sebelum dipercayai bertindak membuang air kecil.

Seorang lagi wanita yang turut berdiri di sebelah pelaku pertama kemudian bertindak mengangkat kanak-kanak perempuan ke tong sampah sama untuk melakukan perbuatan serupa.

Kejadian itu membuatkan seorang pengunjung lain yang turut menyaksikan dan merakamkan perbuatan mereka merasa cukup geli hingga menghilangkan keinginannya untuk berbelanja di pasar raya berkenaan.

“Pagi-pagi nak cari barang dapur. Sebab banyak barang sudah habis. Otak ligat berfikir nak masak apa. Rasa nak masak sedap-sedap sedikitlah di hujung minggu ini. Nak ambil troli. Sekali nampak orang bijak pandai ini.

“Boleh dukung anak dua orang, lelaki dan perempuan untuk kencing dekat tong sampah di hadapan pasar raya. Memang hangin satu badan. Kita masuk pasar raya 10 minit sahaja sebelum keluar baik.

“Hilang keinginan nak beli barang. Hanya beli barang yang anak kirim sahaja. Sudah tak lalulah nak fikir untuk masak apa. Pengotor!,” kesal pelanggan itu menerusi hantaran di platform Threads bersama rakaman kejadian.

Mengulas lanjut, pengunjung terbabit menerusi ruangan komen memaklumkan bahawa kejadian sudah dilaporkan kepada pengawal keselamatan dan pihak pengurusan pasar raya serta polis bantuan juga hadir di lokasi.

Pengunjung lalu menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah kerana merasa geli dan mahu beredar dari lokasi kejadian di sebuah pasar raya yang terletak dalam pusat membeli-belah di Selangor itu.

Baca juga: Dilabel murahan sebab kerja hujung minggu, ini respon Cik Piah