Peniaga terkejut Zizan Razak masuk ‘live’, siap bank-in duit sedekah kek lapis untuk masjid

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga kek lapis tidak menyangka bahawa sesi siaran langsung yang dilakukannya kira-kira pada pukul 2 pagi untuk mempromosikan produk jualannya bakal ditonton oleh pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak.

Namun perkara yang menyentuh hati adalah Zizan bukan sekadar menonton siaran langsung tersebut malah turut memberikan sokongan kepada peniaga dikenali sebagai Arinah Ahmad itu dengan membeli kek lapis jualannya.

Kek tersebut juga dibeli oleh pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak itu bukan untuk dimakannya sendiri sebaliknya buat disedekahkan kepada masjid atau surau yang diamanahkan melalui peniaga berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Arinah Ahmad menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya bersama beberapa keping gambar memaparkan tangkap layar mesej perbualannya bersama Zizan.

“Sambil buat kek lapis, saya bersiaran langsung di aplikasi TikTok. Tak meriah pun penonton, adalah dalam lapan ke 10 orang. Dalam jam 2 pagi macam itu, tiba-tiba Zizan Razak masuk. Dia komen, ‘Hai, jualan berapa hari ini’.

“Saya baca komen ingatkan memang 100 peratus akaun palsu. Beritahulah yang jualan tak banyak mana. Dalam ratus-ratus, tak cecah ribuan untuk hari ini. Kalau di TikTok pula, saya baru mula seminggu lebih. Jadi tak banyaklah.

“Kemudian dia komen, ‘Beri nombor akaun, saya sokong’. Saya rasa sahih, memang akaun palsu. Tetapi saya layan sahaja sebab mengantuk. Tak tahu nak sembang apa lagi. Baguslah, orang tanya soalan,” kongsinya.

Bagaimanapun selepas siaran langsung itu berakhir, Zizan menghantar mesej melalui pesanan secara terus (DM) di akaun TikTok miliknya dan meminta nombor akaun bank untuk memindahkan wang bagi membeli kek jualannya.

Zizan kemudian memberi amanah kepada Arinah untuk sedekahkan kek lapis pembeliannya kepada mana-mana masjid atau surau sebelum mengucapkan terima kasih kerana telah membuka peluang untuknya beramal.

“Saya terus kejutkan suami, risau pula tengok ‘scammer’ (penipu) ini macam terdesak nak nombor akaun. Suami cakap cuba sahaja. Saya berilah kod respons pantas (QR). Sekali tengok, masuk pemindahan wang dari akaun Zizan.

“Ya ampun, mati-mati ingatkan scammer. Zizan cakap dia terharu tengok orang bekerja sampai lewat malam. Itu dia nak bantu. Terima kasih katanya sebab mengizinkan dia bersedekah kerana Allah.” Kongsinya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji sikap dermawan Zizan selain mendoakan agar pelawak terbabit semakin dimurahkan rezeki dan segera dipertemukan jodoh.

Baca juga: 14 tahun kahwin suami cuma goyang kaki, isteri bekerja ‘fed up’ kena uruskan rumah seorang diri