“Penjajah tetap penjajah, takziah sudah mencukupi untuk mereka”. Begitulah yang diperkatakan orang ramai susulan hantaran Instagram yang dimuatnaik bekas penyampai berita TV3, Izwan Azir Saleh yang memeluk erat foto Ratu Elizabeth II selepas kemangkatan baginda minggu lalu.
Izwan meluahkan kekesalan terhadap sikap segelintir warganet yang dikatakan tidak menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth sambil menyifatkan bahawa jasa baginda perlu dikenang kerana telah mengurniakan kemerdekaan untuk Malaysia.
Hantaran itu kemudian tersebar di media sosial sehingga mengundang perdebatan dalam kalangan netizen yang bersetuju dan ada juga mempertikai tindakan penyampai radio Buletin FM itu.
Seorang pengguna Facebook yang juga aktivis pendidikan dan masyarakat, Cikgu Mohd Nor Izzat Mohd Johari tampil membidas dan menegaskan bahawa takziah sahaja sudah mencukupi dan tidak perlu berlebihan sehingga mahu menunjukkan penjajah itu baik.
“Kalau tak kerana pejuang negara berkorban jiwa dan raga, bermatian menuntut kemerdekaan, berperang dengan penjajah dan anasir luar, mungkin kita tidak merdeka.
“Minda sudah dijajah dalam akar otak. Izwan Azir Saleh, jangan gunakan ‘plot twist’ nak tunjukkan penjajah itu baik. Jangan rosakkan anak bangsa. Terima kasih,” katanya.
Melihat reaksi orang ramai berkenaan hal ini, kebanyakannya menyentuh tentang keperluan menghormati sesiapa sahaja yang telah meninggal dunia tanpa meninggalkan komen yang negatif atas kematian seseorang.
Pada masa sama, sebahagian besar terus mengingatkan bahawa penjajah tidak harus diangkat sehingga terlihat seperti diagung-agungkan.
Mereka menekankan tentang pentingnya mengetahui sejarah supaya rakyat Malaysia tidak sesekali melihat penjajah sebagai individu yang ‘baik’ apatah lagi dengan mendakwa penjajah itu telah memberi kemerdekaan pada negara.
“Almarhum Tunku Abdl Rahman ke London hanya membawa kata-kata sahaja ke? Agaknya apa yang ditandatangani ye untuk dengan semudah itu sahaja diberikan kemerdekaan? Mungkin negara telah pun merdeka, hakikat jiwa dan persekitaran penuh dengan budaya Barat yang jelas menyesatkan rakyat. Adakah itu yang dipanggil merdeka? Apa yang dimaksudkan merdeka? Adakah bebas daripda penjajah semata-mata?,” komen pengguna Facebook.
Baca juga: Makan nasi guna kuku, netizen loya tekak lihat wanita ini