Penjawat awam kantoi jual air ketum dekat Putrajaya

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penjawat awam ‘kantoi’ apabila didakwa menjual dan mengedar air ketum di sekitar Putrajaya.

Memetik laporan Bernama, lelaki berusia 38 tahun itu mengaku menjual air ketum di sekitar kawasan Putrajaya dengan harga RM20 sebotol.

Lelaki tersebut dilapor memperoleh bekalan air ketum daripada seorang lelaki bernama “Roy” di Kampung Labu Lanjut, Sepang, sebanyak 10 botol seminggu dengan harga RM18 sebotol.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata penjawat awam itu telah ditahan tengah malam 13 April di Presint 9.

Lelaki itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya semasa berada di lobi sebuah apartmen di Presint 9 kerana memiliki dua botol cecair disyaki air ketum.

A. Asmadi berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, katanya.

Baca juga: Tular video wanita meninggal dunia ketika bertadarus di masjid, ramai cemburu tengok