Tular satu rakaman semalam memaparkan seorang lelaki yang merupakan penumpang di dalam sebuah pesawat sedang berdoa, beristighfar dan juga mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali.
Rupa-rupanya, lelaki itu adalah salah seorang penumpang pesawat Azerbaijan Airlines yang terlibat di dalam tragedi kapal terbang terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, semalam.
Rakaman yang memaparkan detik cemas sebelum kapal terbang tersebut terhempas difahamkan telah dihantar oleh penumpang itu kepada isterinya ekoran menyangka dirinya tidak akan terselamat.
Menerusi rakaman itu, kekecohan para penumpang dapat didengari dari dalam pesawat malah topeng oksigen juga dilihat tergantung di setiap tempat duduk menandakan keadaan kecemasan.
Berdasarkan pemerhatian pada keadaan luaran pesawat yang sempat terbakar itu, orang ramai menyangka tiada lagi penumpang terselamat sebaik tragedi ngeri tersebut berlaku.
Namun pihak berkuasa tempatan yang menjalankan misi menyelamat mengesahkan seramai 29 mangsa termasuk tiga kanak-kanak ditemui selamat manakala penumpang selebihnya disahkan pergi buat selamanya.
Lelaki dalam video tular yang sempat mengucapkan dua kalimag syahadah itu juga terselamat tanpa mengalami kecederaan serius malah masih mampu berjalan dan merakamkan bangkai pesawat di lokasi kejadian.
Lafaz ‘Allahuakbar’ juga tidak lekang daripada bibir lelaki itu seolah-olah menjadi tanda kesyukurannya menjadi salah seorang penumpang yang terselamat dari tragedi nahas tersebut.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 38 orang mangsa telah dilaporkan terbunuh selepas sebuah jet penumpang Azerbaijan Airlines terhempas di barat Kazakhstan, semalam.
Pesawat Embraer 190 yang membawa 67 penumpang dari Baku, Azerbaikan itu sepatutnya menuju ke Grozny, Selatan Russia namun dikatakan melencong sebelum merentasi Laut Caspian dan terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan.
Kementerian Kecemasan Kazakhstan melaporkan bahawa seramai 150 pekerja kecemasan berada di tempat kejadian manakala 29 mangsa yang terselamat termasuklah tiga kanak-kanak sudah dimasukkan ke hospital.
Menurut Azerbaijan Airlines, seramai 67 orang berada di dalam pesawat berkenaan yang mana 62 daripadanya merupakan penumpang manakala baki lima adalah anak kapal.
Sebelum ini, pihaknya memaklumkan pesawat tersebut bertembung dengan sekumpulan burung ketika dalam penerbangan sebelum terhempas namun kenyataan itu telah ditarik semula.
Difahamkan, tiada warga Malaysia terlibat di dalam nahas tragik membabitkan kapal terbang Azerbaijan Airlines yang membawa 37 orang rakyat Azerbaijan, enam dari Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 dari Russia itu.