Penuntut IPT OKU boleh tarik nafas lega, Kerajaan Madani umum pendidikan percuma

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan hari ini telah bersetuju untuk mengecualikan yuran pengajian kepada penuntut orang kelainan upaya (OKU) di pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan memanfaatkan sekitar 3,000 orang pelajar.

“Semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti yang berjumlah sekitar 3,000 orang akan diberikan pendidikan percuma mulai sekarang,” katanya.

Selain itu kerajaan turut mengumumkan peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar dalam kalangan keluarga miskin tegar.

Untuk rekod, kuota pendidikan percuma ini pada awalnya ditawarkan kepada 5,800 penerima sahaja seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.

“Sekarang saya nak umumkan jumlah ini kita akan tingkatkan melalui bantuan PTPTN kepada 10,000 pelajar kategori miskin,” katanya ketika berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Baca juga: Wanita terkejut suami buat hubungan dengan orang gaji sendiri