Seorang penyokong bola sepak yang mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF) difahamkan telah membuat laporan polis.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang menonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City.
Akibat daripada kejadian yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu, mangsa dikatakan cedera di muka hingga patah hidung.
Pakar perubatan juga mengesahkan mangsa mengalami pendarahan di kepala, pendarahan di mata kanan dan juga lebam di seluruh badan.
Menurut kenyataan Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi.
“Mangsa mengesyaki telah dipukul oleh Johor Military Police (JMF). Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan.
“(Pengadu kemudian) ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya),” katanya.
Jika didapati bersalah, anggota berkenaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Polis juga meminta agar orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.
Satu klip video berdurasi 14 saat yang dipercayai merakam kejadian itu turut tersebar luas di platform media sosial Twitter.
Pengguna Twitter yang memuat naik video tersebut tampil mempersoalkan sama ada anggota JMF berkenaan bertindak atas arahan.