Perak laksana larangan lesen vape, pengusaha diberi tempoh hingga Oktober untuk henti jualan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Perak pada 1 Oktober tahun lalu mengumumkan pelaksanaan larangan pengeluaran lesen penjualan rokok elektronik (vape).

Terutamanya di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang akan berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.

Terbaharu Kerajaan Perak memberi tempoh sehingga Oktober ini kepada pengusaha rokok elektronik menghentikan penjualannya susulan keputusan melaksanakan larangan lesen menjual produk itu di negeri berkenaan lapor Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A Sivanesan, berkata tempoh itu diberikan sebagai langkah peralihan.

Ini adalah bagi membolehkan pengusaha terbabit membuat persediaan sebelum larangan berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Kita masih beri ruang sehingga Oktober ini kerana terdapat segelintir pengusaha yang masih memegang lesen jualan rokok elektronik yang belum luput tempoh.

“Jadi, kita harap mereka boleh habiskan produk, sekali gus menghentikan operasi penjualan sepenuhnya secara berperingkat,” katanya seperti dipetik Bernama.

Jelas Sivanesan, pihaknya berharap dengan kelonggaran diberikan, tiada pengusaha rokok elektronik menyalah gunakan ia dengan meneruskan perniagaan mereka secara tidak sah.

Manakala, jika ada pihak yang melanggar arahan tersebut, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka oleh pihak berwajib.

“Kita bagi ruang dan masa yang cukup, saya harap mereka memahami serta mematuhi larangan dikenakan demi kepentingan kesihatan awam dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Baca juga: Pengawai, anggota IPD Bachok didakwa peras ugut ibu suspek dadah RM6,000