Perletakan jawatan Datuk Seri Noraini Ahmad dan penarikan diri Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang) dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling) telah menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya disokong oleh 100 dari 220 ahli Parlimen sahaja.
Sehubungan itu, anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, dakwaan pemimpin kerajaan PN bahawa mereka mempunyai majoriti hanya tipu sahaja.
Beliau yang mengucapkan tahniah kepada tindakan Noraini yang meletakkan jawatan Menteri Pengajian Tinggi lewat petang semalam mendesak agar undian di Parlimen disegerakan.
“Tahniah DS Dr. Noraini Ahmad kerana meletak jawatan Menteri dan tarik sokongan daripada PM. Ia membunuh “game plan” Ismail Sabri pagi tadi.
“Sekarang 115-15=100. Kerajaan PN majoriti tipu. Segerakan undian di Parlimen,” kata beliau menerusi Facebooknya.
Sebaik sahaja selesai majlis pengumuman sokongan yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri kepada kerajaan PN di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada jam 11 pagi semalam, ahli Parlimen Tanjung Karang dan Baling menafikan beliau menyokong kerajaan PN.
Menurut Noh, beliau hanya menandatangani borang itu sebagai pengesahan beliau turut hadir dalam majlis pertemuan MP Barisan Nasional sebelum itu bukannya menyokong kerajaan PN.
Sebagaimana Noh, Azeez juga mempunyai pendirian yang sama.
“Sebagai seorang ahli parti yang telah bertanding atas nama Umno dan BN, tak mungkin saya mengkhianati arahan MKT Umno. Tandatangan itu hanya kehadiran, itu sahaja.
“Buat masa ini, saya ingin memberi tumpuan penuh kepada rakyat Baling dalam usaha menangani pandemik.
“Saya juga berharap rakyat Baling tidak terkeliru dengan segala dakwaan dan dakyah yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab berkaitan kehadiran saya di perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN itu,” jelas beliau.
Dalam sidang media di DBKL semalam, Ismail memaklumkan 31 MP BN menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dengan memasukkan nama Noh dan Azeez Rahim dalam senarai yang menyokong itu.
Dengan penjelasan kedua-dua mereka, hanya 29 MP BN yang menyokong Mahiaddin.
Dewan Rakyat mempunyai 220 anggota sahaja sekarang selepas MP Batu Sapi dan Grik meninggal dunia dan pilihan raya untuk memilih MP yang baharu belum diadakan lagi sehingga sekarang ekoran perintah darurat.