Perli Anwar Ibrahim sebab selalu tukar ‘kerusi’, sekali netizen puji berani sahut cabaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkongsian seorang individu mengenai kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform X, individu itu mempersoalkan tindakan Anwar bertanding di kawasan yang berlainan dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU).

Tindakan ini berbeza dengan bekas Perdana Menteri sebelum ini yang kekal di kerusi sama dalam tempoh beberapa penggal menandakan pengaruh mereka ‘kuat’ di kawasan berkenaan.

Antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad (Kubang Pasu), Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi (Kepala Batas), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera).

Manakala Anwar yang juga Menteri Kewangan itu pula mempunyai pengalaman bertanding di kawasan Permatang Pauh dari tahun 1982 sehingga 1999 dan 2008 sehingga 2015, Port Dickson (2018-2022) serta Tambun (2022-kini).

“PRU yang ke 16, belum pasti di mana dia nak bertanding. Tambun juga sudah jadi kawasan marginal (majoriti tipis). Sekarang sedang sibuk hulur sana, tabur sini.

“Dengan harapan, orang ramai sokong dia. Nampak sudah terdesak sangat,” dakwa individu terbabit menerusi perkongsian di akaun X miliknya bersama maklumat kawasan Anwar bertanding.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu bagaimanapun mendapati pengguna platform X malah mempunyai sudut pandang yang berbeza mengenai tindakan diambil Anwar.

Mereka berpendapat bahawa keputusan Anwar malah menunjukkan keberanian pemimpin terbabit untuk menyahut cabaran dalam mendapatkan sokongan daripada rakyat.

“Maknanya Anwar Ibrahim berani keluar bertanding di kawasan lain untuk melihat sokongan rakyat. Bekas Perdana Menteri yang lain ibarat jaguh kampung,” kata seorang pengguna.

“Baguslah PMX cuba banyak tempat, mencabar sedikit. Rekod juga tak pernah kalah. Ramai rakyat pelbagai Parlimen dapat Perdana Menteri sebagai wakil mereka. Ini duduk terperuk di satu kawasan kubu kuat. Selepas itu nak cerita menang berpenggal-penggal.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Ingat sekadar kad Hari Guru, cikgu tergamam jumpa mini gold bar tersorok dalam sampul merah