Perluas skop caruman Perkeso kepada skim pencen sektor swasta

Oleh ARIF ATAN

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mewujudkan skim pencen kepada pekerja sektor swasta selepas kumpulan itu bersara.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan, majikan serta para pekerja boleh membincangkan mekanisme untuk memperluaskan skop caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada skim pencen.

“Sudah tentu untuk kita perluaskan skop tersebut, kita memerlukan sedikit dana atau caruman itu mungkin ada sedikit peningkatan.

“Jadi, bagi MTUC kita menyambut baik dan bersedia untuk berbincang dengan kerajaan bagaimana mewujudkan pencen pekerja-pekerja swasta ini,” dipetik AWANI.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) kepada pekerja di sektor swasta dalam Bajet 2023.

Menurutnya, kerajaan harus menggalakkan majikan di sektor swasta untuk memberikan elaun Cola, yang ketika ini dinikmati oleh penjawat awam bagi mengurangkan tekanan peningkatan kos sara hidup.

Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif khas bagi perubatan pekerja swasta yang sudah bersara.

Selain itu, kerajaan dicadang supaya satu inisiatif khas bagi perubatan disalurkan dalam memastikan kesejahteraan pekerja dan mereka yang sudah bersara mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Baca Artikel Penuh