Pernah terdetik nak tutup aurat, Ozlynn anggap panggilan haji sebagai ‘final call’

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya setiap wanita muslim mahu menutup aurat dengan sempurna dan bukan sekadar mengikut trend sahaja.

Begitu juga dengan pelakon Ozlynn Waty, dia mengakui bimbang akan mulut orang yang tidak habis mengkritik.

Buat pelakon berusia 42 tahun itu, Ozlynn mengakui hanya menunggu hidayah daripada Allah untuk berubah memakai hijab lapor Kosmo! Online.

“Sebenarnya dah terdetik beberapa tahun lalu tetapi saya rasa orang akan berkata, ‘esok-esok dia buka la tu’.

“Suami selalu kata jangan fikir pasal orang, sebaliknya fikir diri sendiri.

“Tak mengapalah saya nak rasa keajaiban daripada Allah, maknanya nanti bangun dan tiba-tiba terus pakai,” katanya dalam sebuah temu bual.

Berkongsi dengan lebih lanjut, isteri kepada pelawak Johan itu menganggap panggilan haji sebagai titik permulaan untuk memakai hijab.

“Apabila sudah pergi tunai haji, itulah penamatnya sebab haji adalah rukun islam yang kelima maknanya itu adalah ‘final call’ (panggilan akhir) daripada Allah.

“Kalau boleh memang dah tidak mahu (dedah aurat), dah bersedia untuk semunya,” tambahnya.

Jelasnya, Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail mendedahkan dia mengenakan tudung untuk ke kelas agama seminggu sebelum dapat tawaran untuk menunaikan haji.

“Seminggu sebelum dapat tawaran untuk tunai haji, saya pakai tudung ke kelas agama. Ketika itu saya rasa saya sudah bersedia. Kemudian dapat tawaran untuk pergi haji.

“Saya cakap dengan Johan, Allah dengarkah apa yang saya cakap? Saya terfikir apa kebaikkan yang kami buat sampai Allah bagi macam ini?

“Mungkin ada benda yang kita tak perasan,” katanya.

Baca juga: Aeril Zafrel pilih lihat anak membesar depan mata, tak rancang hantar mereka ke sekolah berasrama