Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengkaji semula pembukaan sekolah yang akan dilakukan pada 1 September ini.
Hal ini kerana, kes positif Covid-19 sehingga 11 Ogos 2021 telah mencecah sebanyak 20,780 kes.
“Situasi ini amat membimbangkan sekiranya pembukaan sekolah tetap akan dilaksanakan pada bulan hadapan,” kata Naib Presiden Kebangsaannya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly dalam satu kenyataannya.
Bagi PKPIM, sekolah merupakan institusi penting dalam negara bagi membangunkan pelajar agar mempunyai sahsiah dan kemahiran yang cemerlang akan tetapi PKPIM berasa khuatir akan pengumuman pembukaan sekolah pada awal september ini.
PKPIM berpandangan, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus diberi kuasa autonomi dalam membuat keputusan sama ada sekolah harus dibuka atau sebaliknya dengan menimbang baik kepada keperluan dan kesediaan lokaliti sesuatu tempat.
Sehubungan itu, PKPIM mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh KPM untuk pembukaan sekolah pada 1 September:
i) KPM perlu memperbanyakkan sesi libat urus bersama dengan pemegang taruh pendidikan seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengelakkan “blanket decision” oleh pihak Kementerian.
ii) Pembukaan sekolah perlu dilakukan di kawasan hijau berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meningkatkan kadar pecapaian Internet di Malaysia bagi memastikan tiada gangguan talian semasa PdPR bagi kawasan merah dan kuning.
iii) Pembukaan sekolah ini perlu memfokuskan kepada pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memastikan pelajar-pelajar tingkatan 5 untuk disegerakan vaksinasi bagi memudahkan mereka untuk hadir ke sekolah.
Bagi PKPIM, pendidikan merupakan tanggungjawab semua pihak.
“Justeru, PKPIM berharap agar pihak KPM bersedia untuk membuka ruang kerjasama yang lebih padu, holistik dan kolaboratif, duduk semeja dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menangani krisis pendidikan pasca pandemik serta dapat mengkaji semula pembukaan sekolah pada 1 September 2021 sama ada wajar untuk dibuka semula ataupun tidak,” katanya.