Pertama kali di Malaysia, tanah wakaf digunakan untuk bina stesen minyak…50 peratus hasil disalur ke masjid

Oleh KIM SYAZIE

Lain daripada lain. Tanah wakaf yang lazimnya digunakan untuk pembinaan masjid atau pusat tahfiz, nampaknya kini dimanfaatkan bagi tujuan yang pelbagai seperti pembangunan stesen minyak.

Terletak di Mukim Dengkil, Sepang, pembinaan stesen minyak seluas 1.25 ekar itu dibuat di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut Harian Metro, projek bernilai RM9 juta itu adalah yang pertama di Selangor dan di Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, pengurusan dan perniagaan stesen minyak ini dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh PWS, WS Energy 1 Sdn Bhd (WSE1) yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek pembangunan wakaf berimpak tinggi.

“Projek ini mula beroperasi kelmarin dan Insya-Allah menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Dengan keberhasilan projek ini, jelas dinyatakan bahawa PWS sangat menitikberatkan bagi pembangunan tanah-tanah wakaf di dalam Selangor dan komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu dan progresif demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam,” katanya dalam sidang media.

Menariknya, manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sungai Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini.

Baca juga: Penghantar gas didakwa tunjuk kemaluan, wanita lari hubungi suami