Perunding hartanah tegur elak jemur baju di balkoni, nanti harga kondo boleh jatuh

Oleh WAN SITI AMINAH

Sudah menjadi norma masyarakat, penduduk perumahan bertingkat tinggi sering menjadikan balkoni sebagai tempat menjemur pakaian.

Tidak hanya mencemarkan pemandangan, amalan yang telah dinormalisasikan ini sebenarnya salah dari segi undang-undang.

Melanggar Akta Pengurusan Strata 2013, perkara itu dikongsikan oleh seorang perunding hartanah menerusi satu hantaran di laman Twitter.

Menurutnya, amalan sedemikian juga boleh merugikan pemilik rumah dari segi kewangan kerana harga kediaman di kawasan itu bakal turun.

Kesannya, pembeli rumah tidak akan memperolehi untung sekiranya mereka membuat keputusan untuk menjualnya di masa hadapan.

“Bawah Akta Pengurusan Strata 2013, penduduk tidak boleh menyidai baju di balkoni. Sebab nanti akan jadi macam ini (cacat pemandangan).

“Kurang nilai di situ. Gunakan kawasan halaman yang telah disediakan. Sama-sama jaga kawasan bangunan agar nampak cantik. Baru nilai jadi tinggi, nak jual pun untung,” ciapnya.

Peraturan yang perlu dipatuh, akta itu diperkenalkan untuk mengatur penyelenggaraan dan pembangunan kediaman bertingkat.

Tambah perunding hartanah itu, akta tersebut juga menghalang pemilik untuk mengubah suai rumah sesuka hati seperti harta sendiri.

“(Bangunan) Itu adalah hak milik bersama yang semua bayar untuk kos penyelenggaraan. Jangan ambil hak orang.” Katanya.

Baca juga: Sesak nafas, M. Daud Kilau dikejarkan ke hospital