Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendesak agar tidak ada lagi tindakan berbentuk penganiayaan kepada mana-mana guru sama ada tetap mahupun kontrak agar peluang diserap tetap dirasai untuk semua.
Menerusi kenyataannya hari ini, jawatankuasa itu mengucapkan tahniah dan selamat berjuang kepada guru-guru interim yang telah diserap ke posisi tetap termasuk guru-guru baru yang telah pun diserap melalui skim pengambilan guru secara one-off.
“Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan mendapat maklum bahawa guru-guru interim yang pada mulanya akan ditamatkan kontrak penghujung April 2022 ini, telah pun diserapkan sebagai guru tetap.
“Meski sebelum ini guru-guru interim tidak dilibatkan dalam pengambil guru secara one-off melibatkan 18 000 kekosongan, JKPPH berpandangan guru interim harus diutamakan dan telah mendesak KPM bertindak melalui satu kenyataan media bertarikh 21 Januari 2022.
“Akhirnya, KPM dan SPP telah menyegerakan panggilan temuduga buat guru interim sebelum tempoh kontrak tamat, dan mereka telah pun berjaya diserap kep posisi guru tetap di sekolah yang sama,” kata kenyataan itu lagi.
Jawatankuasa Pendidikan PH yang dipengerusikan Ahli Parlimen Simpang Renggam dari PKR, Dr Maszlee Malik dianggotai tiga lagi anggota Dewan Rakyat dari parti tersebut iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Natrah Ismail (Sekijang) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Tampin dari AMANAH, Datuk Dr Hasan Bahrom serta tiga Ahli Parlimen DAP iaitu Teo Nie Ching (Kulai), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah).