‘Pilih pengendali haji berdaftar bawah TH’

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru orang ramai agar merujuk kepada Tabung Haji (TH) dan pihak berwajib berkaitan untuk memilih pengendali haji yang berdaftar rasmi.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, orang ramai diingatkan jangan terpedaya dengan janji pihak operasi haji swasta yang tidak ada kaitan dengan TH atau individu tertentu yang mengeksploitasi bakal haji yang terdesak.

“Saya kesal kepada insiden jemaah haji yang terkandas dan ini membawa isyarat keras kepada orang ramai supaya menjauhi individu yang menjanjikan tawaran haji yang sebenarnya adalah merupakan scam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden kira-kira 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ekoran gagal berlepas ke Jeddah, Arab Saudi semalam.

Kesemua mereka berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.

Memetik laporan Awani, jadual penerbangan mereka sepatutnya pada jam 4.25 petang semalam.

Makkah kembali jadi tumpuan ratusan ribu jemaah haji selepas dua tahun ibadat dalam rukun Islam kelima itu tertangguh akibat wabak Covid-19.

Lebih mengecewakan mereka apabila pasport masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan terbabit.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, insiden jemaah haji terkandas berlaku setiap musim haji meninggalkan kesan kos material dan psikologi kepada mangsa.

“Pihak berwajib seperti TH berkali-kali beri ingatan tentang risiko berdaftar haji dengan pengendali haji swasta yang bukan di bawah seliaan TH,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada syarikat swasta terbabit dan mangsa seharusnya menuntut ganti rugi kos yang telah dibayar.

Baca juga Siapa ‘Tan Sri’ yang disebut jemaah haji terkandas di KLIA?

Baca juga Jangan salahkan pengusaha ladang durian Musang King selagi tak sah punca, kesian dia – MB Kedah