Pindaan Perlembagaan hanya bermakna jika berjaya haramkan tindakan lompat parti, kata Guan Eng

Oleh ARIF ATAN

Pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya bermakna jika berjaya mengharamkan tindakan lompat parti yang mengkhianati mandat rakyat seperti Langkah Sheraton, kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan tindakan lompat parti sebagai tidak beretika dan tidak demokratik yang telah pun mencetuskan tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun ini.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pindaan Perlembagaan berhubung hal tersebut merupakan langkah “bersejarah” hasil muafakat antara kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan (PH)menerusi Memorandum Persefahaman(MoU).

Menurutnya, langkah tersebut memupuk budaya demokrasi yang sihat dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap proses pilihan raya.

“Keputusan rakyat menerusi undi mereka memilih wakil rakyat daripada parti politik yang mencalonkannya mesti mengatasi segala-galanya dan amanah rakyat dihormati sepenuhnya.

“Selepas ini, maka nilai undi tidak akan dirosakkan atau ditidakkan dengan pengkhianatan wakil rakyat yang melompat parti selepas dipengaruhi oleh tawaran jawatan ataupun dan kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng menyeru agar penggubalan Akta Anti-Lompat Parti yang meletakkan kepentingan awam lebih daripada keuntungan peribadi disokong bagi menggalakkan integriti, akauntabiliti dan untuk mengembalikan kuasa rakyat.

“Sama penting juga ia akan membawa kepada kestabilan politik di mana wakil rakyat tidak akan lagi di jual beli.

“Kita tidak mahu menyaksikan lagi negara dalam keadaan huru-hara apabila berlakunya rampasan kuasa bukan menerusi peti undi tetapi melalui (perbuatan) pengkhianatan amanah rakyat seperti yang berlaku dalam Langkah Sheraton yang membawa kerajaan pintu belakang pada 2020,” katanya.

LANJUT MENYUSUL

Baca Tak akan berkompromi, PH gesa Ismail beri jaminan RUU Anti Lompat Parti dibentang dalam masa terdekat

Baca Adibah bayar hutang rakan dengan duit kemenangan GV8