PKR minta polis lebih telus, siasat kes mangsa rogol Adun Gombak Setia

Oleh Oleh SURI LAILA

PKR meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap telus dan sistem perundangan negara perlu berlaku adil terhadap siasatan kes rogol yang dikaitkan dengan Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak menafikan wujudnya kegusaran sesetengah pihak yang mula curiga sekiranya terdapat unsur campur tangan di dalam kes tersebut.

Ini kerana, Hilman merupakan setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya mewakili rakyat Malaysia yang mahukan keadilan di dalam sistem perundangan dan meminta ketelusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penyiasatan ke atas mereka yang terlibat tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat.

“Dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu.

“Sebarang aduan jenayah seksual harus diambil berat demi mewujudkan satu persekitaran yang selamat bagi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, wanita yang didakwa mangsa kepada Adun tersebut mendedahkan bahawa pihak polis masih belum mengambil tindakan setelah sembilan bulan laporan polis dibuat.

Mangsa juga menyatakan akan memfailkan tindakan saman terhadap pihak polis sekiranya dalam masa tujuh hari masih lagi tidak memaklumkan perkembangan ssiasatan.