Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membangkitkan isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot di Maran, Pahang dalam perbincangan bersama kerajaan negeri itu.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa tindakan sedemikian terpaksa diambil kerana isu permilikan tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Difahamkan, Anwar juga sempat berhubung melalui telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli kampung terbabit yang turut hadir di kediamannya pada petang semalam dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
“Saya mendengar permasalahan yang dihadapi mereka terkait pertikaian tanah selain penahanan tiga penduduk Orang Asli dari kampung. Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak Polis.
“Isu pertikaian tanah ini akan saya bangkitkan bersama Kerajaan Negeri memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa negeri,” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam kenyataan tersebut berhubung penjelasan beli
Anwar dalam perkongsian sama turut mengingatkan agar semua pihak supaya tidak memanipulasi isu berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada penyelesaian dibuat secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang.
Terdahulu, tular rakaman memaparkan seorang wanita Orang Asli hadir di kediaman Anwar bersama anaknya untuk memohon bantuan berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan dengan isu pertikaian membabitkan pemilikan tanah.
Pertikaian tersebut didakwa berpunca daripada isu membabitkan tanah diusahakan penduduk Orang Asli yang mana kawasan berkenaan turut dilaporkan mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.
Sekadar info, pengurusan dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri bukan Persekutuan seperti yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual 9 (Senarai Negeri).
Pihak Kerajaan Negeri juga mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir, meluluskan permohonan, dan mengeluarkan geran tanah dengan proses dikendalikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Tanah Daerah.
Manakala Kerajaan Persekutuan pula hanya boleh memiliki tanah melalui proses pembelian atau pengambilan tanah (mengikut undang-undang) bagi tujuan fasiliti awam seperti balai polis, sekolah, hospital, dan kem tentera.
Baca juga: Asas kepimpinan mula dari sikap tidak cepat puas hati atas pencapaian sendiri – PM Anwar