Pelajar SJKC 11 tahun jadi juara pertandingan tilawah Al-Quran 

Oleh KIM SYAZIE

Seorang murid 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi perhatian ramai selepas berjaya bergelar johan dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.

Yuki Raisha Mohd Thirmidzi mencuri tumpuan kerana dia hanya berguru dengan bapanya, Mohd Thirmidzi Ibrahim, 41, hanya lima hari sebelum pertandingan berlangsung.

Video kanak-kanak itu dimuat naik bapanya sendiri di TikTok.

Menurut Harian Metro, Mohd Thirmidzi dari Kubang Kerian, berkata, dia betbangga dengan kejayaan Yuki yang mewakili SJKC Chung Hwa, biarpun kali pertama menyertai pertandingan tilawah al-Quran.

Mohd Thirmidzi juga gembira kerana dapat membantu anaknya pada saat akhir walaupun dia tidak pernah bersekolah agama, hanya ada asas mengaji dan tiada pengalaman menyertai pertandingan tilawah al-Quran.

“Saya ibarat bidan terjun sebenarnya kerana pada awalnya menyangka guru yang akan membimbing anak sebelum menyertai pertandingan pada April lalu.

“Tapi guru itu tak dapat membantu kerana kesuntukan masa jadi saya ambil inisiatif mengajar anak yang mempersembahkan bacaan surah al-Baqarah.

“Kalau menonton video di TikTok itu, saya nampak garang kerana nak anak buat yang terbaik dan memang kena tegas kerana dia belajar di SJKC, jika tidak akan ketinggalan.

“Syukur Allah SWT izinkannya bergelar juara dan ia pencapaian yang baik buatnya kerana itu kali pertama wakil sekolahnya memenangi pertandingan tilawah al-Quran,” katanya.

Mohd Thirmidzi berkata, selepas merangkul kejuaraan itu, Yuki bertanding pula mewakili sekolahnya untuk peringkat daerah pada Mei lalu.

“Cuma tak ada rezeki untuk dia mendapat tempat…tapi ia tetap pengalaman berharga buatnya,” katanya.

Baca juga: Asas kepimpinan mula dari sikap tidak cepat puas hati atas pencapaian sendiri – PM Anwar