PM Anwar lancar skim PADURI MADANI, dana RM230 juta bantu usahawan wanita B40

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Skim Paduri Madani di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Anwar menjelaskan bahawa insiatif tersebut akan melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.

Beliau juga menegaskan bahawa usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan memperkasa rakyat mesti diteruskan dengan secara menyeluruh, inklusif dan berterusan.

Sehubungan dengan itu, pentadbiran Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang lebih berani dan ihsan agar peluang menjana pendapatan dapat diperluas khususnya kepada golongan yang paling memerlukan.

“Skim PADURI MADANI membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk bangkit membina kehidupan yang lebih bermaruah melalui keusahawanan, termasuk mereka yang pernah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis.

“Tanpa keperluan penjamin atau cagaran, skim ini memberi peluang kedua kepada rakyat untuk memulakan langkah baharu demi masa depan keluarga mereka.

“Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” kata Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam perkongsian itu.

Menurut Anwar, skim tersebut juga bersifat inklusif dengan menyasarkan wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di bandar dan luar bandar.

Langkah ini diambil agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih adil dan menyeluruh dalam suasana ekonomi dunia yang terus berdepan dengan ketidaktentuan, tekanan kos sara hidup serta cabaran rantaian bekalan global.

“Keupayaan wanita dalam bidang keusahawanan bukan sahaja penting dalam memperkukuh ekonomi keluarga, malah menjadi antara pemacu utama kepada ketahanan ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berperikemanusiaan.” Ujarnya.

Baca juga: Prabowo terlalu santai, anggap “Indonesia masih okay dan stabil” walaupun rupiah jatuh teruk