Prabowo terlalu santai, anggap “Indonesia masih okay dan stabil” walaupun rupiah jatuh teruk

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menjadi perhatian susulan respon yang terlalu santai ketika bercakap mengenai kejatuhan nilai rupiah berbanding dolar AS ketika ini.

Beliau berkata, penyusutan nilai rupiah tidak memberi kesan langsung kepada kebanyakan rakyat terutama di desa.

Malah katanya, rakyat di kampung berbelanja tidak menggunakan wang dolar dan walaupun rupiah jatuh, tetapi “Indonesia masih okay”.

“Rakyat di kampung bukan guna dolar pun, betul tak?

“Makanan selamat, tenaga juga selamat. Banyak negara panik tetapi Indonesia masih okay,” katanya ketika merasmikan Muzium Marsinah di Nganjuk, Jawa Timur semalam.

Beliau turut menyindir pihak yang sering menggambarkan ekonomi Indonesia sedang menuju kehancuran hanya kerana nilai rupiah terus melemah.

“Setiap masa ada yang kata Indonesia akan runtuh, akan huru-hara dan sebagainya,” katanya.

Prabowo yang juga Presiden Parti Gerindra menegaskan ketahanan ekonomi Indonesia masih berada dalam keadaan baik dan stabil terutama dalam sektor makanan dan tenaga di tengah ketidaktentuan global.

Baca juga: Tiba-tiba RM40k masuk akaun bank, rupanya taktik scam baharu jadikan mangsa ‘keldai akaun’