PM jangan berpeluk tubuh, bantu segera peniaga dan penganggur

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin diingatkan untuk bertindak sekarang untuk membantu perniagaan dan pekerjaan rakyat Malaysia yang semakin terjejas akibat Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Mahiaddin tidak boleh hanya berpeluk tubuh sementara menunggu bulan September untuk menguji keabsahannya.

Menurutnya, ketika ini mata pencarian rakyat telah dimusnahkan setelah kegagalan bersiri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat untuk mengawal pandemik Covid-19.

Beliau merujuk kepada, data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan bahawa kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus untuk Jun 2021 berbanding 4.5 peratus pada Mei.

“Jelas sekali kerajaan PN akan sekali lagi terlepas sasaran pengangguran sebanyak 3.5 peratus untuk tahun ini.

“Yang menjadi kebimbangan adalah bahawa kadar pengangguran belia bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 9.4 peratus berbanding 9.2 peratus pada bulan Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DAP turut mengulangi seruan agar bantuan kebajikan masyarakat dinaikkan kepada RM1,000 setiap bulan, termasuk kepada penganggur bagi membantu keluarga mereka untuk terus hidup.

Baginya, jelas ada keperluan bagi peruntukan segera sebanyak RM6 bilion untuk mewujudkan 300,000 pekerjaan baru yang menawarkan insentif pengambilan pekerja kepada majikan sekurang-kurangnya RM300 sebulan dan insentif upah kepada pekerja sekurang-kurangnya RM500 sebulan bagi jangka masa dua tahun untuk mengurangkan kadar pengangguran .

Pada masa sama beliau berkata, hanya ada dua bulan sahaja yang tinggal sebelum kerajaan perlu membuka semula ekonomi sepenuhnya kerana jika tidak, sektor PKS akan runtuh.

“Hampir 1 juta PKS yang merangkumi 98.5 peratus daripada semua pertubuhan perniagaan memberi pekerjaan kepada 7.3 juta rakyat Malaysia pada tahun 2020, dan merupakan 48.0 peratus daripada jumlah pekerjaan negara.

“Adakah pembukaan semula ekonomi sepenuhnya pada bulan Oktober boleh berlaku apabila angka kematian dan jangkitan harian kekal tinggi masing-masing pada 212 dan 17,236 untuk jumlah kumulatif 10,961 kematian dan 1,279,776 jangkitan?,” soalnya.

Atas sebab itu katanya, kerajaan perlu mengambil langkah berani untuk memansuhkan faedah enam bulan moratorium automatik untuk semua peminjam (kecuali Kumpulan 10 Teratas), termasuk perniagaan dan bukan hanya individu.