Politik baru, yang menang tidak boleh ‘makan’ yang kalah macam dulu

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pemimpin parti politik bekerjasama dengan satu persefahaman baru seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong melalui pertemuan mereka hari ini.

Menerusi pertemuan tersebut Anwar memaklumkan, Agong telah memulakan dengan titah nasihat bahawa semua pihak harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan menangani isu kemelesetan ekonomi.

Tuanku Agong juga memberitahu tentang lunas-lunas Perlembagaan agar dapat mencari calon Perdana Menteri yang mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen.

“Tetapi politik perlu berubah. Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah.

“Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru.

“Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baru, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Tuanku Agong dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas satu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan terbaru di Facebook.

Hari ini kesemua ketua-ketua parti politik hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sesi pertemuan itu berlangsung selama dua jam.