Satu rakaman memaparkan keadaan menu berbuka iaitu nasi berlaukkan ayam goreng yang dibeli di sebuah bazar Ramadan terletak di Taiping, Perak telah berjaya mencuri tumpuan ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, video tersebut telah menimbulkan rasa loya dan cukup menggelikan dengan memperlihatkan menu berbuka yang sudah tercemar dengan kehadiran ‘sekampung’ ulat di bahagian kepak ayam.
Situasi itu turut membuatkan pembeli merasa hilang selera makan untuk berbuka puasa sebelum tampil meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan peniaga di bazar Ramadan yang dikunjunginya itu.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu, pelanggan yang dikenali sebagai Nazie mengakui sangat sedih dan kecewa terhadap sikap ketidakjujuran peniaga sehingga menjual makanan sudah tercemar.
“Sihat-sihat ulatnya, tengah menari. Niat hati memang tak nak masak sebab nak sokong peniaga bazar konon. Tetapi tak sangka, ini ‘rezeki’ yang saya dapat. Sedih dan kecewa sangat apabila peniaga bersikap tak jujur macam ni.
“Tolonglah, kalau nak berniaga itu biarlah ada keberkatan. Kita beli guna duit, bukannya minta percuma. Janganlah sebab nak untung cepat, kebersihan dan kualiti makanan ditolak tepi. Ini bukan setakat sudah rugi duit.
“Tetapi sudah potong selera nak berbuka satu keluarga! Aku memang tak halalkan duit untuk makanan macam ini. Semoga menjadi pengajaran buat peniaga lain juga. Nasiblah anak aku belum makan lagi ayam itu,” kesalnya.
Pembeli yang tidak menyediakan hidangan berbuka pada hari kejadian itu bagaimanapun bernasib baik berikutan rakan baiknya bermurah hati untuk menghantarkan nasi dan lauk buat seisi keluarganya.
Baca juga: “Dulu malu nak cerita duduk flat dengan opah” – Syasya Rizal imbau kenangan lama