Seorang wanita berkongsi pengalaman cemas apabila mendapati sejumlah RM40,000 tiba-tiba dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya sebelum dipercayai menjadi sasaran taktik penipuan scammer.
Menerusi hantaran dimuat naik di Threads, pengguna dikenali sebagai @lyaeyzia berkata wang tersebut masuk ke akaunnya sekitar waktu Maghrib pada 13 Mei lalu sehingga membuatkannya panik dan keliru.
“Scammer alert. Ini taktik scammer ye gais. Tiba-tiba Maghrib 13 haribulan masuk dalam akaun RM40k, siapa tak gelabah,” tulisnya.
Menurutnya, tidak lama selepas itu dia menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki yang meminta dia memulangkan semula wang berkenaan selain meminta tangkap layar akaun bank miliknya.
Bagaimanapun, wanita tersebut mula mengesyaki sesuatu selepas menyemak maklumat transaksi dan mendapati wang dimasukkan dipercayai menggunakan cek yang masih dalam proses atau ‘floating’.
Dia kemudian mengambil keputusan pergi ke bank bagi mendapatkan pengesahan lanjut sebelum mendapati transaksi berkenaan sememangnya dipercayai berkaitan cubaan scam.
“Cheque masih floating. Jadi kita tunggu sampai jam 3 petang tengok dah return dah cheque palsu tu,” katanya.
Dalam masa sama, dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan atau memindahkan wang yang tidak dikenali masuk ke akaun sendiri kerana bimbang boleh dikaitkan dengan kegiatan penipuan atau menjadi ‘keldai akaun’.
Menurutnya, dia juga membuat laporan polis sebagai langkah perlindungan selepas mendakwa mengenali individu yang pernah ditahan akibat akaun bank digunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan data peribadi pengguna.
“Macam mana nombor akaun dan nombor telefon kita boleh ada dekat scammer?” soal seorang pengguna.
Baca juga: PM Anwar hulur sumbangan kepada pejuang kanser payudara tahap 4, tabah jaga 5 anak