Pramugara MAS terima pujian, jaga penumpang cilik macam anak sendiri

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang pramugara Malaysia Airlines (MAS) menerima pujian warganet selepas sikap prihatin dan penyayangnya menjaga seorang kanak-kanak demam tular di media sosial.

Insiden tersebut berlaku dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, pramugara berkenaan memberi perhatian lebih kepada penumpang kecil itu sepanjang perjalanan.

Perkara itu dikongsikan pengguna Threads, @meerzikry, yang menjadi saksi kepada kejadian berkenaan sepanjang penerbangan tersebut.

Menurutnya, pramugara terbabit menjaga kanak-kanak itu dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri.

“Abang ni jaga penuh kasih, macam jaga anak sendiri. Bagi ubat, susunkan tempat supaya budak tu boleh baring selesa, setiap dua jam datang check suhu badan.

“Siap susunkan seat kosong untuk mak dia rehat sekali,” tulisnya di Threads.

Dia turut mengakui berasa sebak menyaksikan layanan tersebut, lebih-lebih lagi kerana penerbangan itu membawa jemaah umrah yang kebiasaannya sarat dengan emosi.

“Aku perhati je dari belakang, dan ya aku sebak. Orang balik umrah ni emosi dia lain macam.

“Semoga urusan abang sentiasa dipermudahkan, dan traffic light atas kapal sentiasa hijau,” ujarnya.

Rata-rata pengguna Threads juga memuji pramugara dikenali sebagai Kamarul malah berkongsi kebaikannya.

“Dia antara crew MAS yang pernah memenangi anugerah kru kabin terbaik dunia lapan tahun berturut turut dahulu, tahniah,” komen Bould.

“Saya kenal, Abang ini memujuk mak mertua saya supaya makan makanan dalam penerbangan kerana mak tidak mahu makan. Dia kata, ‘Makcik dah bayar beribu-ribu untuk buat umrah, makcik kena makan supaya ada tenaga.’

“Selepas dipujuk, mak terus makan. Alhamdulillah, bersyukur dapat bertemu dengan pramugara yang baik hati,” komen Husna.

Baca juga: Guru geram dengan perangai miang bapa murid, sanggup guna anak luah perasaan