PRN Melaka: Tanpa kerjasama dengan Bersatu dan Pas, Umno dijangka menang tipis

Oleh ARIF ATAN

Peluang Umno untuk meraih kemenangan selesa dua pertiga hanya boleh dicapai jika parti itu bekerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain.

Beliau berpendapat Umno akan bergerak bersendirian melalui BN kerana mereka yakin ada kekuatan di Melaka.

“Lagipun tiada ancaman kuat untuk Umno di Melaka berbanding di Perak, Johor dan Sabah. Umno boleh menang, tetapi sangat tipis, jauh sekali nak dapat dua per tiga. Ini saya berani jamin,” lapor BH.

Menurutnya, Umno yang menerajui kerajaan negeri sebelum ini juga mempunyai isu besar berkenaan pemberian projek tambakan laut seluas 476 hektar kepada sebuah syarikat Singapura.

Katanya, isu itu boleh menjejaskan peluang Umno untuk meraih kemenangan selesa.

“Dari segi strategi politik, adalah lebih baik Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pas sekali gus menenggelamkan isu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Atory berkata, status kerjasama Umno dengan Bersatu dan Pas tidak mustahil berubah kerana sifat politik itu sendiri yang dinamik.

“Di atas kertas memang kelihatan tiada ruang untuk bekerjasama khususnya dengan Bersatu malah Presiden Umno sendiri semalam menyatakan ‘No Way’.

“Kalau dilihat pada emosi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia seperti sudah bercerai talak tiga,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Ahmad Atory, terdapat golongan pertengahan dalam Umno, Bersatu dan Pas yang bekerja ke arah memupuk perpaduan.

“Jadi tidak mustahil pendirian tidak kerjasama itu boleh berubah,” tambahnya lagi.