Satu rakaman memaparkan sekumpulan selebriti media sosial yang sedang makan di sebuah restoran telah mengundang satu perbincangan hangat baru-baru ini.
Mana tidaknya, selebriti atau ‘influencer’ berkenaan telah bertindak mempromosikan minuman ‘Soju Halal’ yang dihidangkan dan dijual oleh pemilik restoran di Bangi itu.
Soju atau arak bakar ini adalah produk keluaran negara Korea Selatan iaitu sejenis minuman keras jernih yang diperbuat daripada beras, gandum atau barli.
Berdasarkan video yang beredar, inflencer itu memaklumkan bahawa air tersebut adalah Soju versi halal yang boleh diminum kerana tidak mengandungi alkohol.
“Jom makan daging Wagyu sambil minum ‘Soju halal’. Jangan risau, Soju yang aku minum ini halal, cuma air buah sahaja.
“Dia macam acah-acah air Soju betul tetapi jangan risau boleh minum,” ujar lelaki berkenaan dengan yakin menerusi video yang dikongsi di laman X (Twitter) itu.
Meskipun ia hanyalah air buah, perbuatan lelaki itu yang menikmatinya tidak ubah seperti gaya meminum arak telah membangkitkan kemarahan daripada orang ramai.
Hal ini kerana, pempengaruh media sosial yang dipercayai beragama Islam itu bagai mempromosikan perbuatan yang salah dan dilarang mengikut pandangan agama.
Sedangkan, masyarakat beragama Islam dilarang sama sekali untuk meniru perbuatan mereka yang meminum arak walaupun sekadar membuat gayanya sahaja.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial menyelar perbuatannya yang seolah-olah mahu menghalalkan sesuatu perkara haram.
“Benda elok boleh minum, kau samakan dengan alkohol memabukkan. Tak perlu nak ‘ala-ala Soju’, dengan cara minum pun kau nak ikut. Motif? Kau Islam kan?,” marah seorang pengguna.
“Bila kita mula membudayakan minum haram yang dibuat halal, akhirnya kita merasa selesa dengan benda haram. Jangan kita membiasakannya.” Tegur pengguna lain.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah mengingatkan bahawa umat Islam WAJIB menjauhkan diri daripada produk meragukan.
Menurutnya, hal ini termasuklah sebarang bentuk produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang oleh syarak seperti arak.
“Justeru, perbuatan minum arak dan mengadakan majlis minum arak merupakan amalan dan tradisi biasa bagi orang kafir. Sedangkan ia jelas terlarang dalam agama Islam.
“Maka umat Islam dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang meminum arak.” Jelasnya menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Baca juga: Menyamar jadi wanita Muslim, baru tahu punca warganegara China ini pakai niqab dan jubah