PRU-15: DAP arah jentera parti bersiap sedia menjelang Ogos ini

Oleh ARIF ATAN

Sebagai langkah persiapan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah mengarahkan supaya seluruh jentera parti digerakkan segera dan bersiap sedia menjelang bulan Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong dalam kenyataannya hari ini berkata, semua jawatankuasa negeri juga diarahkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya bagi negeri masing-masing.

“Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Negeri yang juga dikenali dengan jawatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri akan dilantik menganggotai jawatankuasa kebangsaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Menghadapi PRU-15 DAP berkata, pihaknya telah bertemu dengan Anthony hari ini untuk menyelaraskan hala tuju dan gerak kerja kempen PRU-15.

Menurutnya, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah melantik barisan anggota utama Jawatankuasa Persediaan Menghadapi PRU-15 DAP yang terdiri daripada lima Ahli Jawatankusa.

Mereka ialah Teresa Kok merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Timbalan Setiausaha Agung), V. Sivakumar (Timbalan Setiausaha Agung), Steven Sim (Setiausaha Organisasi Kebangsaan) dan Teo Nie Ching (Setiausaha Publisiti Kebangsaan).

“Dalam mesyuarat ini, Jawatankuasa juga bersetuju untuk melantik Sdri Wong May Ing (Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Perak) sebagai setiausaha eksekutif, dan Sdr Khoo Poay Tiong (Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan) sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk berurusan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Untuk rekod, blok pembangkang pada masa ini terdiri daripada PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

PH pula merupakan gabungan PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Untuk rekod, blok pembangkang pada masa ini terdiri daripada PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

PH pula merupakan gabungan PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).