PMX raih ‘undian’ tertinggi! Ini punca Gen Z pilih Anwar Ibrahim jadi PM penggal hadapan

Oleh MALAYSIADATELINE

Tinjauan undian atau ‘poll’ baharu mengenai pencalonan Perdana Menteri bagi penggal hadapan telah berjaya mengundang perbincangan di platform media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, tinjauan tersebut lebih memberi fokus kepada golongan Gen Z sekali gus mencerminkan pandangan pengundi muda kepada landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan tinjauan dibuat di platform Threads itu, seramai empat pemimpin tersenarai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang turut disenaraikan untuk dipilih ‘pengundi’ bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Selepas tempoh tinjauan tamat, Anwar yang juga Menteri Kewangan nampaknya menjadi pilihan popular untuk menjadi pemimpin nombor satu negara susulan berjaya mendapatkan 54 peratus undian.

Namun siapa sangka, Najib menduduki tempat kedua dengan 23 peratus undian mengalahkan Ahmad Samsuri (20 peratus) yang juga Menteri Besar Terengganu itu manakala Hadi Awang (3 peratus) pula di kedudukan terakhir.

Keputusan tersebut sekali gus mengundang persoalan mengapakah golongan muda masih memilih Anwar sebagai Perdana Menteri untuk penggal hadapan meskipun beliau sering dihimpit dengan naratif negatif.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata ‘pengundi’ menilai calon pemimpin nombor satu negara melalui kemahiran dalam pentadbiran dan kebolehan memperkukuhkan diplomasi dengan negara luar.

Negara juga memiliki kestabilan politik sepanjang pentadbiran kerajaan Madani dipimpin oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu malah rakyat juga tidak merasa terlalu terkesan dengan krisis bekalan global berbanding di negara jiran.

“Pertama ada nama dan karisma. Semua pemimpin luar negara kenal PMX sebab legasi dia waktu masih bersama Umno dan jadi orang paling dekat dengan Tun Mahathir dahulu. Kebolehan komunikasi tak perlu diragukan lagi. Tanpa teks pun selamba dia berucap depan pemimpin dunia. Siap boleh tukar topik bila-bila masa,” kata seorang pengguna.

“Gen Z memang duduk merungut itu dan ini. Tetapi mereka tetap memerhati sebab ada sikap memberontak. Mereka tak akan terima naratif bulat-bulat tanpa soal dahulu. Bijak menilai mana yang betul, mana salah dan tak terikat dengan satu benda. Mereka dapat menilai mana fitnah, mana yang menggerakkan ekonomi.” Kongsi pengguna lain.

Berikut adalah komen lain yang ditinggalkan pengguna Threads berhubung perbincangan tersebut.

Baca juga: Tular gambar pekerja asing di Malaysia jadikan botol pencuci pinggan sebagai botol air, netizen pula sebak tengok