Rakaman majlis perkahwinan mula tersebar, Tan Sri Musa Hassan menikah lagi?

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kembali menjadi topik perbualan hangat di kalangan pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, tokoh berpengaruh berusia 72 tahun itu dilaporkan telah berkahwin sekali lagi dengan seorang wanita yang dipercayai berketurunan Cina.

Malah, rakaman majlis perkahwinannya bersama wanita bernama Puan Sri Qistina Lim itu turut ditularkan di laman media sosial Facebook pada malam semalam.

Dirakam secara langsung, video majlis perkahwinan tersebut dimuat naik oleh pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar di akaun Facebook miliknya.

“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” tulis Tuan Asmawi dengan ringkas di ruangan kapsyen video berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook berkongsi rasa gembira dengan khabar tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Musa.

“Selamat pengantin baru kepada Tan Sri Musa Hassan yang saya paling minati dari dahulu sehingga sekarang. Kirim salam saya kepadanya,” kongsi seorang pengguna.

“Mabruq Alaikum Tan Sri Musa dan pasangan.” Kata pengguna lain yang mendoakan agar pasangan pengantin baharu itu diberikan keberkatan oleh Ilahi.

Tan Sri Musa Hassan sebelum ini pernah terpalit kontroversi selepas video dipercayai memaparkan dirinya bersama isteri, Puan Sri Elly Afizahwati tular di media sosial.

Sambil disaksikan oleh anak mereka yang masih kecil, video tersebut merakamkan pertelingkahan pasangan suami isteri berkenaan dipercayai mengenai isu pembayaran nafkah.

Kemelut rumah tangga bekas Ketua Polis Negara itu semakin meruncing selepas Puan Sri Elly memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Mac lalu.

Puan Sri Elly memaklumkan, permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

Baca juga: Senang je rupanya nak bersihkan karat dalam cerek, guna dua bahan ini ‘confirm’ berkilat macam baru beli