Seorang pengguna media sosial berkongsi maklumat mengejutkan mengenai penjagaan tudung berjenama apabila mendakwa aksesori kristal pada tudung boleh rosak sekiranya disimpan terlalu lama dalam kotak tanpa pengudaraan.
Menerusi perkongsian oleh Zatul Adawiah, dia memaklumkan perkara itu selepas membeli tudung daripada jenama Bawal Exclusive di sebuah butik di IOI, yang pada asalnya ingin dijadikan hantaran.
Menurutnya, jurujual menasihatkan agar tudung tersebut dikeluarkan daripada kotak sebaik tiba di rumah bagi mengelakkan kristal Swarovski menjadi rosak.
“Saya baru tahu rupanya tak boleh simpan lama dalam kotak. Beli sebab nk buat hantaran, walaupun majlis lambat lagi.
“Jurujual pesan kena keluarkan sebab kristal boleh rosak kalau tak ada udara. Nasib baik kau bagitahu dik, kalau tak kecewa,” ujarnya dalam hantaran di Threads.
Perkongsian itu turut disokong oleh seorang lagi pengguna Juliaelhani yang mendakwa pernah mendapatkan penjelasan terus daripada pihak Swarovski berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, kristal jenis “hotfix” memerlukan dua keadaan untuk kekal berkilau iaitu pengudaraan dan pendedahan haba tertentu.
“Satu tak boleh simpan dalam kotak sebab tiada pengudaraan. Satu lagi, kalau letak di luar tapi tak kena haba seperti seterika, ia juga boleh menyebabkan kristal ‘mati’.
“Kalau tak dapat kedua-dua keadaan ini, batu Swarovski boleh hilang kilauan,” jelasnya.
Bagaimanapun, dia menambah penggunaan sabun atau bahan pencuci tidak menjejaskan kristal tersebut, sebaliknya faktor utama adalah pengudaraan dan haba.
Perkongsian berkenaan menjadi perhatian apabila ramai yang mengakui baru mengetahui cara penjagaan sebenar bagi memastikan kristal pada tudung kekal berkilau dan tidak rosak.
Baca juga: “Ambil MC boleh, pergi kerja tak boleh…”, netizen sekolahkan majikan pertikai cuti sakit pekerja