Rancang nak buka kompleks beli-belah tahun depan, Rosyam Nor mahu pasarkan produk tempatan

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya ramai warga tempatan berimpian untuk membuka satu pusat beli-belah yang dipenuhi dengan produk rakyat negara ini sendiri.

Buat pelakon dan usahawan Datuk Rosyam Nor bercita-cita untuk membuka kompleks beli-belah tahun depan dengan nama ST Rosyam Mall.

Ini adalah selepas kejayaannya memiliki enam pasar raya ST Rosyam Mart lapor Kosmo! Online.

“Alhamdulillah, perniagaan ST Rosyam Mart semakin berkembang. September nanti kami akan buka cawangan baru di Senawang, Negeri Sembilan. Ini adalah cawangan pertama di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tahun hadapan pula kami akan buka ST Rosyam Mall yang pertama. Tetapi saya belum boleh dedahkan dengan terperinci maklumat di mana lokasinya dan sebagainya.

“Apa yang akan dijual di situ nanti berbeza dengan apa yang ada di ST Rosyam Mart. Saya mahu menggalakkan usahawan tempatan yang mempunyai produk untuk bersama-sama dengan kami,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama, Rosyam turut merancang untuk membuka 25 cawangan ST Rosyam Mart menjelang 2027 serta diperluaskan ke negeri-negeri lain.

“Selepas ini kami mahu memperluaskan lagi jenama ST Rosyam Mart ke negeri-negeri lain pula.

“Insya-Allah, dalam perancangan kami mahu buka cawangan baharu di Pahang. Kami masih meninjau lokasi-lokasi strategik termasuklah Bentong, Temerloh atau Jerantut,” kongsinya.

Nak buat ruang khas untuk selebriti

Dalam pada itu, dia juga ingin membina satu ruangan khas diberi nama ‘Celebrity Corner’ di setiap cawangan ST Rosyam Mart.

Ruangan ini khas buat selebriti yang berkecimpung dalam dunia perniagaan dan mahu memasarkan produk mereka agar senang dibeli orang ramai.

“Kebanyakan produk selebriti yang terdapat di sini adalah makanan. Untuk produk lain seperti pakaian dan sebagainya mungkin akan ditempatkan di ST Rosyam Mall nanti.

“Kami turut menitikberatkan kualiti produk yang dijual disini. Ada petugas yang akan menguji produk-produk ini terlebih dahulu sebelum dijual.

“Kami tidak mahu timbul sebarang masalah di kemudian hari jika terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini.

“Kebiasaannya produk-produk selebriti ini paling tidak pun ada sijil daripada MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri). Kalau ada logo Halal lebih bagus,” jelasnya.

Baca juga: Inside Scoop akur larangan KKM, henti jual ais krim dicampur ubat batuk serta-merta